Pewaris takhta Sultan_Nazrin_Muizzuddin_Shah_ibni_Almarhum_Sultan_Azlan_Muhibbuddin_Shah

Semasa Raja Azlan Shah selamat diputerakan, paduka ayahanda baginda bukan tergolong dalam raja bergelar kerana baginda merupakan paduka putera yang bongsu dan menyebabkan baginda berada jauh dalam susur galur pewarisan takhta kerajaan Perak sekali gus membuatkan Raja Nazrin Shah turut jauh dalam pewarisan takhta. Pada zaman pemerintahan paduka ayahanda baginda pula, kedudukan baginda semakin dekat apabila paduka ayahanda baginda diangkat sebagai Sultan Perak setelah kemangkatan paduka nenda baginda. Pada 16 Februari 1984, Raja Nazrin Shah dimasyhurkan sebagai Raja Kechil Besar Perak dan telah menyempurnakan istiadat menjunjung duli pada 30 Ogos 1986. Dengan gelaran raja bergelar Perak baru ini, baginda berada di tempat ketiga mengikut sistem hierarki sistem pergiliran Kesultanan Perak.[3]

Pada tahun 12 April 1987 apabila Raja Muda Raja Ahmad Saifuddin Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat, Raja Ahmad Hisham Raja Abdul Malik, 80, Raja Di-Hilir pada masa itu telah memberi laluan kepada Raja Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia. Baginda telah dimasyhurkan Raja Muda Perak pada 15 April 1984, mengambil alih tempat ayahanda baginda, Sultan Azlan Shah, yang menaiki takhta menjadi Sultan Perak dua minggu sebelum itu.

Perkahwinan

Raja Nazrin Shah berjumpa dan berkenalan dengan Zara Salim Davidson sejak baginda berusia 48 tahun.

Istiadat pernikahan diadakan secara sederhana dan ringkas dengan adat istiadat di Istana Iskandariah dengan mas kahwin 250 gram emas tulen dalam bentuk lima syiling.

Selepas lapan tahun berkenalan, Raja Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim diijabkabulkan pada 17 Mei 2007 di Istana Iskandariah.[4] Perkahwinan ini merupakan yang pertama kali dalam sejarah kerana semua Raja Muda yang dilantik sebelum ini telah berkahwin sebelum dilantik sebagai Raja Muda Perak. Raja Dr Nazrin Shah berpakaian persalinan baju songket tenunan Terengganu berwarna kuning diraja dengan baju melayu lengkap bersamping berserta setanjak. Raja Dr. Nazrin amat disenangi pelbagai lapisan masyarakat dan dibuktikan apabila berita perkahwinannya dengan Zara Salim Davidson disambut dengan penuh kesyukuran dan perasaan teruja.

Raja Nazrin Shah dikurniakan anakanda pertama baginda, Yang Mulia Raja Azlan Muzzaffar Shah pada 14 Mac 2008. Anakanda kedua, Yang Mulia Raja Nazira Safya telah diputerakan pada tahun 2 Ogos 2011.

Pemangku raja

Raja Nazrin Shah telah menjadi Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan dua kali iaitu apabila paduka ayahanda baginda diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada tahun 1989 hingga tahun 1994 serta sewaktu paduka ayahanda baginda gering bermula pada tahun 2008 sehingga kemangkatan paduka ayahanda baginda. Baginda telah menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-raja mewakili paduka ayahanda baginda.[5]

Baginda diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong dilantik sebagai Canselor Keempat Universiti Malaya berkuatkuasa 16 Julai 2014. Pada 14 Ogos 2014, baginda telah berkenan menjadi Kolonel Yang Dipertuan Rejimen Jurutera Tentera Darat dan Kolonel Yang Dipertuan Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia.

Rujukan

WikiPedia: Sultan_Nazrin_Muizzuddin_Shah_ibni_Almarhum_Sultan_Azlan_Muhibbuddin_Shah http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita/NewDis... http://www.astroawani.com/berita-dunia/sultan-nazr... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/sultan-n... http://www.bernama.com/bernama/v3/news_lite.php?id... http://www.bernama.com/bernama/v3/news_lite.php?id... http://www.bernama.com/bernama/v3/news_lite.php?id... http://www.bernama.com/bernama/v3/news_lite.php?id... http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/502... http://www.rajanazrin.com/ http://www.sun2surf.com/article.cfm?id=27789